PUTRAJAYA, 4 Julai - Malaysia mengekalkan kerusi bagi mewakili rantau Asia dalam Majlis Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu secara perkongsian dengan Thailand bagi tempoh 2026 hingga 2028.
Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dalam kenyataan memaklumkan, perkara itu diputuskan semasa Persidangan FAO ke-44 yang berlangsung di Rom, Itali.
Delegasi Malaysia ke persidangan berkenaan diketuai oleh Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu.
"Dalam hal ini, Malaysia telah bekerjasama erat dengan rakan-rakan dalam kalangan rantau Asia seperti Thailand, Indonesia, Sri Lanka, India, Pakistan dan negara lain dalam melaksanakan rundingan bagi mencapai persetujuan kolektif untuk mengisi tiga kerusi yang diperuntukkan kepada rantau Asia," menurut kenyataan itu.
Malaysia akan terus memegang kerusi berkenaan secara perkongsian dengan Thailand bagi sesi baharu yang bermula pada 1 Julai 2026 sehingga penghujung sesi ke-46 Persidangan FAO pada 2029.
Majlis FAO merupakan badan eksekutif utama yang memainkan peranan penting dalam mengarahkan kerja organisasi pada Persidangan FAO, yang diadakan setiap dua tahun.
Majlis tersebut bertanggungjawab meneliti dasar umum dan program kerja FAO, mengawasi pelaksanaannya serta membuat cadangan kepada Persidangan FAO mengenai perkara berkaitan belanjawan dan pentadbiran.
Keanggotaannya terdiri daripada wakil negara anggota yang dipilih oleh Persidangan FAO untuk tempoh tiga tahun, berdasarkan pengagihan mengikut rantau.