fb fb fb fb fb

Malaysia terus perkukuh kerjasama bilateral dengan Filipina - Zahid

Foto FB Timbalan Perdana Menteri

KUALA LUMPUR, 14 Oktober- Malaysia menyatakan komitmen jitu bagi memperkukuh kerjasama bilateral Malaysia-Filipina seiring kepengerusian ASEAN Malaysia, tahun depan.

Hasrat itu disuarakan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi ketika mengadakan kunjungan hormat kepada Presiden Republik Filipina, Ferdinand R Marcos Jr .

Dalam satu kenyataan, Timbalan Perdana Menteri menyatakan hasrat untuk mencari peluang bekerjasama dalam industri halal selain memperluas pensijilan halal serta meneroka peluang perdagangan dan pelancongan halal baharu.

Perbincangan hari ini menekankan kepentingan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dalam memacu pertumbuhan ekonomi.

Justeru, Malaysia mahu menjalin kerjasama rapat dengan Pihak Berkuasa Pendidikan Teknikal dan Kemahiran Filipina (TESDA) selain perkongsian kepakaran dan amalan baik.

Perbincangan turut menyentuh berkenaan inisiatif latihan bersama antara Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) dan agensi berkaitan di Filipina.

Beliau menegaskan semula komitmen Malaysia untuk memberikan bantuan kepada Filipina ketika menghadapi bencana.

Timbalan Perdana Menteri berharap pertemuan itu akan menjadi asas memperkukuh hubungan Malaysia-Filipina sekali gus memperluas kerjasama pada masa hadapan.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM