fb fb fb fb fb

Malaysia terus komitmen kukuh hubungan diplomatik serta perdagangan dengan China

Pertemuan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof dengan Naib Premier, Ding Xuexiang yang berlangsung selama kira-kira sejam

BEIJING, 17 November - Komitmen Malaysia dalam mengukuhkan hubungan diplomatik serta perdagangan dengan China diteruskan menerusi pertemuan dua hala bersama-sama pemimpin tertinggi republik itu.

Dimulakan dengan pertemuan empat mata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof dengan Naib Premier, Ding Xuexiang yang berlangsung selama kira-kira sejam di Great Hall Of People.

Pertemuan pada sebelah petang itu menjadi antara fokus terpenting di Beijing bertepatan dengan sambutan ulang tahun ke-10 Perkongsian Strategik Komprehensif Malaysia-China, tahun ini serta sambutan ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik kedua-dua negara, tahun depan.

Fadillah yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi kemudiannya memenuhi jemputan makan malam yang dihoskan Menteri Pertanian dan Hal Ehwal Luar Bandar, Tang Renjian di sebuah hotel di Beijing.

Ini sekali gus menjadi pertemuan terakhir bersama-sama para pemimpin China bersempena lawatan rasmi tujuh hari beliau ke Shanghai dan Beijing.

Terdahulu, Timbalan Perdana Menteri berkesempatan mengadakan lawatan ke Akademi Sains Pertanian China (CAAS), sebelum menunaikan solat Jumaat di Masjid Dongsi.

Sebelum mengakhiri lawatan rasmi esok, Fadillah dijadual melawat pusat media, China Central Television (CCTV) dan seterusnya menghadiri sesi bersama pelajar Malaysia di China.

TETITIA YUSOFF