Malaysia terus jadi destinasi pilihan pelancong

Uzaidi Udanis

KUALA LUMPUR, 30 Mac – Meskipun berlaku konflik di Asia Barat namun ia tidak menjejaskan secara ketara terhadap industri pelancongan Malaysia, buktinya kehadiran pelancong masih didominasi pengunjung rantau ASEAN.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pelawat Asia Barat, khususnya Arab Saudi, membelanjakan lebih tinggi, purata kira-kira RM11,000 seorang.
  • Perbelanjaan pelawat biasa sekitar RM4,000 seorang, menunjukkan perbezaan signifikan antara pasaran.
  • Usaha kurangkan kebergantungan kepada laluan dan pasaran Asia Barat perlu diperkukuh, terutama dalam sektor penerbangan.
  • Penerbangan terus Frankfurt oleh Lufthansa dilihat sebagai perkembangan positif dan contoh perluasan laluan untuk kekalkan daya tahan industri pelancongan.

Pakar Industri Pelancongan merangkap Pengasas Your Inbound Matters, Uzaidi Udanis berkata, kira-kira 70 peratus pelancong ke Malaysia adalah dari ASEAN, manakala hanya sekitar 1.5 hingga 3.5 peratus sahaja dari Asia Barat.

“Kebanyakan pelawat ke negara kita datang dari rantau ASEAN, iaitu sekitar 70 peratus. Jadi, kesannya tidak begitu ketara.

“Namun begitu, kita juga melihat pelawat dari Asia Barat, khususnya Arab Saudi, mempunyai perbelanjaan yang lebih tinggi. Secara purata, mereka membelanjakan kira-kira RM11,000 seorang.

“Jumlah itu jauh lebih tinggi berbanding pelawat biasa yang berbelanja sekitar RM4,000 seorang. Walaupun perbezaan perbelanjaannya besar namun jumlah pelawat dari Asia Barat masih ramai,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas program Selamat Pagi Malaysia di Angkasapuri Kota Media di sini.

Dalam pada itu, Uzaidi Udanis berpandangan usaha mengurangkan kebergantungan terhadap laluan dan pasaran Asia Barat perlu diperkukuh, khususnya dalam sektor penerbangan.

“Kita sedia maklum bahawa kira-kira 30 peratus penerbangan dunia melalui Asia Barat. Jadi, keadaan ini boleh memberi kesan sekiranya kita terlalu bergantung dalam jangka panjang. Saya berharap syarikat penerbangan negara dapat mempertimbangkan untuk menyediakan lebih banyak penerbangan terus ke Eropah.

“Inilah masa yang sesuai untuk kita mengurangkan kebergantungan kepada laluan Asia Barat dan memperluas penerbangan terus. Dahulu, kita bukan sahaja mempunyai laluan ke London dan Paris, malah lebih banyak destinasi yang diterokai.

“Saya juga melihat penerbangan terus dari Frankfurt yang dilakukan Lufthansa sebagai satu perkembangan positif kepada industri penerbangan di Malaysia,” katanya.

Justeru, pendekatan strategik termasuk memperkukuh pasaran serantau serta memperluas laluan penerbangan dilihat sebagai pilihan mampu memastikan industri pelancongan negara kekal berdaya tahan.