
KUALA LUMPUR 4 Mac – Malaysia akan terus mendesak kerajaan Filipina melalui saluran diplomatik supaya mempertimbangkan pembukaan pejabat konsulat di Sabah bagi memudahkan urusan perkhidmatan konsular rakyat negara itu, kata Timbalan Menteri Luar Datuk Lukanisman Awang.
- Malaysia terus mendesak Filipina membuka konsulat di Sabah untuk memudahkan perkhidmatan konsular rakyatnya.
- Manila enggan menubuhkan konsulat kerana bimbang menjejaskan tuntutan wilayah terhadap Sabah.
- Malaysia tegas bahawa Sabah adalah sebahagian daripada negara berdaulat, disokong sejarah dan undang-undang antarabangsa.
Beliau menjelaskan langkah ini penting bagi menangani isu dokumentasi rakyat Filipina yang menetap di Sabah, sekali gus mengurangkan bebanan operasi kerajaan dalam penguatkuasaan, kesihatan dan pendidikan.
Beliau mendedahkan bahawa setakat ini Manila masih enggan menubuhkan konsulat di Sabah kerana bimbang langkah itu menjejaskan status tuntutan mereka terhadap negeri berkenaan.
“Kerajaan Malaysia akan terus mencari ruang, menyampaikan nota dan mengadakan perbincangan konsisten di peringkat pegawai kanan bagi memastikan Filipina memberi keutamaan kepada kebajikan rakyat mereka melalui penubuhan konsulat tetap,” katanya ketika menggulung perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Negara hari ini.
Beliau menegaskan bahawa Malaysia sebagai negara berdaulat tidak mengiktiraf sebarang tuntutan Filipina ke atas Sabah.
“Status Sabah dalam Malaysia telah disahkan oleh sejarah, undang-undang antarabangsa dan kehendak rakyatnya sendiri. Sebarang naratif luar tidak akan menggoyahkan integriti wilayah serta komitmen kita dalam menjaga keselamatan dan kesejahteraan rakyat Sabah,” katanya.
Isu kekurangan perkhidmatan konsular bergerak Filipina di Sabah pernah dibangkitkan dalam pertemuan Menteri Luar dengan Setiausaha Hal Ehwal Luar Negeri Filipina di Manila pada Julai 2024 dan Mesyuarat Suruhanjaya Bersama Malaysia-Filipina ke-8 pada Oktober 2024.
Beliau turut memaklumkan bahawa cadangan pembukaan Konsulat India di Sabah sedang dikaji melalui sesi libat urus dengan Kerajaan Negeri Sabah dan agensi berkaitan.