Malaysia terokai rawatan Gene-Theraphy tangani kos rawatan talasemia bernilai RM3 juta

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad/ BERNAMA

KUALA LUMPUR, 23 Februari – Malaysia sedang meneroka kaedah rawatan ‘Gene-Therapy’ sebagai penyelesaian bagi mengurangkan kos rawatan penyakit talasemia yang boleh mencecah RM3 juta sepanjang hayat pesakit.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kerajaan meneroka terapi gen sebagai pilihan mengurangkan beban kos rawatan talasemia yang sangat tinggi.
  • Terapi gen berpotensi kuratif tetapi ketersediaan dan pelaksanaan terhad kerana keperluan kemudahan dan kepakaran khusus.
  • Alternatif lebih mampu milik ialah Pemindahan Sel Stem Hematopoietik, merawat 212 pesakit sejak 2007 dengan kos RM100,000–RM120,000.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, kos tersebut melibatkan penjagaan kesihatan sebanyak 92.5 peratus, manakala baki 7.5 peratus ditanggung pesakit dan keluarga.

“Namun, kos bagi satu rawatan (one-time curative treatment) adalah amat tinggi, di mana di pasaran global ia mencecah antara USD 2.2 juta hingga USD 2.8 juta (kira-kira RM10 juta-RM13 juta) bagi setiap pesakit.

“Walaupun terapi ini berpotensi menjadi rawatan kuratif, ketersediaannya secara meluas masih terhad dan pelaksanaannya mencabar kerana memerlukan kemudahan khusus terapi gen, kepakaran multidisiplin, infrastruktur makmal berstandard tinggi, sistem rujukan yang mantap, serta mekanisme pembiayaan kesihatan yang mampan”, katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Kuala Langat, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi berhubung cadangan kerajaan membangunkan rawatan tersebut di Dewan Rakyat hari ini.

Datuk Seri Dr Dzulkefly berkata, sebagai pilihan lebih berpatutan, Pemindahan Sel Stem Hematopoietik (HSCT) yang telah menyembuhkan seramai 212 pesakit sejak 2007, dengan kos antara RM100,000 hingga RM120,000.

Dengan cabaran kos tinggi dan keperluan infrastruktur khusus katanya, negara perlu merancang untuk menyediakan rawatan yang lebih mampan dan mampu milik kepada pesakit talasemia.