OSAKA, 21 Februari- Malaysia akan meneroka beberapa kaedah baharu yang digunakan oleh Jepun dalam pengurusan bencana di negara itu termasuk penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) dan data raya kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Kaedah tersebut dilihat berkesan dalam menangani isu bencana alam terutama untuk tempoh jangka masa panjang.
Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bencana Negara berkata usaha tersebut akan dikoordinasi oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).
"Saya berpendapat pengalaman berada di Osaka ini satu pengalaman perlu bagi kita menyediakan rancangan jangka panjang supaya masalah banjir ini dapat diurus dengan baik.
"Permasalahan dan penyelesaian jangka panjang mesti dilakukan ketika kos untuk pemasangan dan juga pembaikan serta mengubahsuai bagi tujuan naik taraf tidak melibatkan kos terlalu tinggi," katanya selepas mendengar taklimat mengenai pengurusan bencana di sini.
Selain itu, beliau juga akan mengadakan perbincangan dengan Menteri Peralihan Tenaga Dan Transformasi Air (PETRA) Datuk Seri Fadillah Yusof untuk mengkoordinasi semua mitigasi yang harus dilakukan untuk mengurangkan risiko bencana dalam negara.