fb fb fb fb fb

Malaysia terajui Mesyuarat Khas ASEAN tangani krisis gempa bumi

Mesyuarat Khas Tergempar Menteri-Menteri Luar ASEAN secara sidang video bagi membincangkan usaha bantuan kemanusiaan susulan gempa bumi yang melanda Myanmar dan Thailand / FOTO FB Dato’ Seri Utama Haji Mohamad Bin Haji Hasan

PUTRAJAYA, 30 Mac- Malaysia, selaku Pengerusi ASEAN 2025, telah mengadakan Mesyuarat Khas Tergempar Menteri-Menteri Luar ASEAN secara sidang video bagi membincangkan usaha bantuan kemanusiaan susulan gempa bumi yang melanda Myanmar dan Thailand.

Wisma Putra menerusi satu kenyataan memakluman, mesyuarat yang dipengerusikan oleh Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan, dihadiri Menteri-Menteri Luar ASEAN atau wakil mereka serta Menteri Luar Negeri Timor-Leste sebagai pemerhati.

Turut serta, Setiausaha Agung ASEAN, Dr. Kao Kim Hourn, serta Timbalan Pengarah Eksekutif Pusat Penyelarasan ASEAN bagi Bantuan Kemanusiaan dalam Pengurusan Bencana (AHA Centre), Krishna Putra Tanaja.

Menteri-Menteri Luar ASEAN menyatakan solidariti penuh kepada Myanmar dan Thailand serta menzahirkan takziah kepada mangsa dan keluarga yang terjejas. Mereka menekankan keperluan memperkukuh kesiapsiagaan dan ketahanan bencana di peringkat serantau serta menggerakkan bantuan kemanusiaan secara bersepadu melalui AHA Centre.

Myanmar dan Thailand turut merakamkan penghargaan atas keprihatinan serta bantuan pantas yang disalurkan oleh negara-negara anggota ASEAN bagi menyokong operasi mencari dan menyelamat.

Sebagai komitmen segera, dua pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) telah berlepas ke Naypyidaw pagi ini, membawa 50 anggota Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) serta peralatan penting. Penghantaran ini diketuai Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dengan sokongan Kementerian Pertahanan, Kementerian Luar Negeri dan Kedutaan Besar Malaysia di Yangon.

Datuk Seri Mohamad Hasan turut memaklumkan bahawa beliau akan melaksanakan misi kemanusiaan ke Myanmar dalam masa terdekat bagi menyelaras bantuan tambahan berdasarkan keperluan sebenar di lapangan.

Malaysia dalam mesyuarat itu turut menggesa semua pihak agar menghentikan sebarang bentuk permusuhan dan keganasan bagi memastikan bantuan kemanusiaan dapat disalurkan tanpa halangan serta menjamin keselamatan petugas kemanusiaan. Seruan ini disokong sebulat suara oleh Menteri-Menteri Luar ASEAN yang lain.

Malaysia menegaskan komitmennya untuk terus bekerjasama rapat dengan negara-negara ASEAN serta rakan serantau dan antarabangsa bagi menyalurkan bantuan menyeluruh kepada Myanmar dan Thailand.

"Tragedi ini bukan sekadar detik duka bersama, tetapi juga detik tekad bersama. ASEAN kekal bersatu dalam semangat solidariti dan kemanusiaan," tegas Datuk Seri Mohamad Hasan.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE