KUALA LUMPUR, 13 November- Malaysia selaku pengemudi ASEAN 2025, berada pada kedudukan terbaik untuk meningkatkan daya tarikan rantau ini sebagai destinasi penyelesaian pertikaian alternatif (ADR) yang berkesan.
Bagaimanapun, jelas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said, visi itu menuntut kerjasama pelbagai pihak dalam kalangan negara anggota ASEAN.
Usaha itu juga memerlukan sokongan pegawai kerajaan, institusi timbang tara, pengamal undang-undang dan pihak berkepentingan dalam industri.
"Untuk mencapai visi ini, kami memerlukan kerjasama pelbagai hala antara negara anggota ASEAN yang disokong oleh pegawai kerajaan, institusi timbang tara, pengamal undang-undang, dan pihak berkepentingan dalam industri.
"Bersama-sama, kita dapat mengukuhkan komitmen kita untuk menegakkan kedaulatan undang-undang, memperluas akses kepada keadilan dan mencapai keputusan yang adil melalui mekanisme penyelesaian pertikaian alternatif (ADR) yang berkesan.
"Dengan memperkukuh kerjasama ini, ia akan meningkatkan kualiti perkhidmatan kita dan memastikan rangka kerja kita diiktiraf dan dihormati di peringkat global", katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Kuala Lumpur Forum on International Arbitration 2024.