Malaysia teliti keputusan Mahkamah Agung AS, tidak gopoh tamatkan ART

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika sesi soal jawab pada Mesyuarat Pertama, Penggal Kelima Parlimen ke-15 Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen hari ini. / Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR 25 Februari – Kerajaan akan terus memantau perkembangan tarif global susulan keputusan Mahkamah Agung Amerika Syarikat (AS) yang yang mengisytiharkan tarif yang dikenakan Presiden Donald Trump, sebagai tidak sah.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kerajaan akan terus memantau perkembangan tarif global susulan keputusan Mahkamah Agung AS.
  • Keputusan memerlukan penelitian rapi terutama implikasi terhadap hubungan perdagangan Malaysia-AS.
  • Malaysia tidak akan terburu-buru menamatkan Perjanjian Perdagangan Timbal Balas dan akan menilai implikasi.
  • Kerajaan perlu ruang untuk meneliti tindakan susulan Presiden AS dan perlindungan kepentingan ekonomi negara.

Menurut Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, keputusan itu memerlukan penelitian rapi terutama implikasinya terhadap hubungan perdagangan Malaysia-Amerika Syarikat.

“Jadi Perintah Eksekutif tentang tarif global baharu ini, bagi saya harus dipantau dari dekat dan melihat dari segi kepentingan ekonomi Malaysia. Dari sudut perdagangan.

“Setakat ini seperti saya tegaskan yang bermakna kita hanya mungkin pantau tetapi kita tidak mahu dalam keadaan sekarang ambil keputusan yang gopoh yang mungkin menjejaskan kepentingan perdagangan kita,” katanya ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid dalam Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri pada persidangan Dewan Rakyat, di sini hari ini.

Beliau menanyakan pendirian kerajaan terhadap keputusan mahkamah agung AS yang mengisytiharkan tarif yang dikenakan oleh Trump sebagai tidak sah.

Tegas Perdana Menteri, Kerajaan tidak akan terburu-buru dalam memutuskan pendirian Malaysia berkaitan Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) dengan AS.

Sebaliknya, akan terus memantau perkembangan mengenai ART oleh AS, tindakan susulan diambil oleh Presiden AS Donald Trump serta meneliti pelbagai aspek bagi melindungi kepentingan ekonomi dan perdagangan Malaysia.

“Kita akan terus pantau perkembangan ART ini kerana keputusan mahkamah agung AS masih belum muktamad dan kita tunggu pendirian kongres. Malah, Presiden Trump boleh menggunakan beberapa peruntukan undang-undang lain bagi mengekalkan tarif diputuskan sebelum ini,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa kerajaan perlu diberi ruang untuk meneliti perkembangan dan implikasi keputusan eksekutif AS, terutamanya ke atas hubungan dua hala Malaysia-AS yang bernilai RM367.5 bilion.