
KUALA LUMPUR, 6 Mac – Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil menyambut baik langkah Indonesia melarang kanak-kanak bawah usia 16 tahun daripada mengakses media sosial.
- Langkah itu bertujuan melindungi golongan muda daripada risiko kandungan berbahaya di internet.
- Malaysia melihatnya sebagai perkembangan positif untuk memperkukuh keselamatan digital kanak-kanak dan institusi keluarga.
- Malaysia sedia berkongsi kepakaran teknikal dan kaunseling digital bagi memperkukuh perlindungan pengguna internet.
- Kerjasama serantau melalui Deklarasi Kuala Lumpur mendorong negara menilai serta melaksanakan langkah keselamatan digital.
Langkah itu merupakan usaha melindungi golongan muda daripada risiko kandungan berbahaya di internet.
Menurut beliau, Malaysia melihat langkah itu sebagai perkembangan positif dalam usaha memperkukuh keselamatan digital khususnya melibatkan kanak-kanak dan institusi keluarga.
“Saya amat mengalu-alukan usaha rakan sejawat saya di Indonesia, Meutya Hafid. Kami telah lama berbincang bagaimana kedua-dua negara boleh bekerjasama memastikan internet lebih selamat untuk rakyat masing-masing, terutama kanak-kanak dan keluarga,” katanya kepada media selepas menghadiri Majlis Iftar dan Penyampaian Sumbangan Aidilfitri bersama Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Madrasah Tarbiah Islamiah di sini hari ini.
Fahmi berkata Malaysia juga bersedia berkongsi kepakaran termasuk dari aspek teknikal dan kaunseling digital bagi membantu memperkukuh usaha perlindungan pengguna internet di rantau ini.
Menurutnya kerjasama serantau dalam isu keselamatan digital telah bermula sejak tahun lalu apabila negara anggota ASEAN menerima pakai Deklarasi Kuala Lumpur mengenai Media Sosial Lebih Selamat semasa mesyuarat menteri komunikasi ASEAN.
“Melalui deklarasi itu, negara-negara ASEAN bersetuju untuk menilai serta melaksanakan langkah-langkah bagi menjamin keselamatan pengguna internet,” katanya.