
PUTRAJAYA, 26 Mac – Malaysia menggesa peluasan gencatan senjata di Lubnan susulan ketegangan di selatan negara itu.
- Menyokong kedaulatan Lubnan dan mengutuk serangan ke atas infrastruktur awam.
- Menyeru semua pihak meredakan ketegangan, kembali kepada dialog dan prihatin terhadap situasi kemanusiaan yang mendesak.
- Komitmen Malaysia bekerjasama dengan Lubnan, rakan antarabangsa dan PBB untuk gencatan senjata serta memulihkan keamanan dan kestabilan serantau.
Gesaan itu dibuat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika mengadakan perbualan telefon dengan Perdana Menteri Lubnan, Nawaf Salam.
Menurut Perdana Menteri, Malaysia menyatakan sokongan terhadap kedaulatan Lubnan dan mengutuk serangan ke atas infrastruktur awam.
Dalam perbualan tersebut , beliau menyeru semua pihak untuk meredakan ketegangan dan kembali kepada dialog, di samping menyentuh situasi kemanusiaan yang semakin mendesak.
“Kesempatan ini, saya turut menghargai sokongan berterusan Kerajaan Lubnan dalam memastikan keselamatan dan kebajikan anggota MALBATT kita di bawah UNIFIL agar terus dapat melaksanakan tugas dengan berkesan dalam suasana mencabar”, jelas beliau menerusi hantaran di Facebooknya.
Malaysia turut menzahirkan komitmen untuk terus bekerjasama dengan Lubnan dan rakan antarabangsa dalam usaha memulihkan keamanan dan kestabilan serantau.
Dalam perkembangan sama, Perdana Menteri turut mengadakan perbualan dengan rakan sejawatnya dari Singapura, Lawrence Wong, bagi membincangkan perkembangan terkini konflik Asia Barat yang semakin meruncing dan memberi kesan global, termasuk kepada negara di Asia Tenggara.
Jelas Perdana Menteri, Malaysia menyatakan komitmen tidak berbelah bahagi terhadap seruan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) supaya gencatan senjata segera dilaksanakan dan semua pihak kembali ke meja rundingan.
“Saya dan PM Lawrence senada bahawa segala pertikaian harus diselesaikan melalui dialog dan saluran diplomatik. Malaysia bersedia menyokong sebarang usaha ke arah meredakan ketegangan serta memulihkan keamanan, keadilan dan kestabilan di Asia Barat,” katanya.
Kedua-dua pemimpin turut menzahirkan kebimbangan terhadap penutupan Selat Hormuz dan serangan terhadap infrastruktur kritikal, yang berpotensi menggugat kestabilan pasaran minyak dunia serta keselamatan tenaga serantau.