Malaysia, Singapura setuju perundangan domestik dimuktamad pada Jun

Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah

KUALA LUMPUR, 11 Februari – Malaysia dan Singapura bersetuju memastikan perundangan domestik kedua-dua negara berkaitan pengoperasian Rapid Transit System Link (RTS Link) dimuktamadkan selewat-lewatnya 30 Jun ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Malaysia dan Singapura komited memuktamadkan perundangan domestik RTS Link selewat-lewatnya 30 Jun.
  • Perundangan itu perlu dikuatkuasakan sepenuhnya menjelang 30 September.
  • RUU RTS Link 2026 dirangka untuk membolehkan pemantauan dan penguatkuasaan tanpa menjejaskan undang-undang sedia ada.
  • Sesi perbahasan rang undang-undang akan bermula pada hari Khamis di Dewan Rakyat.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, langkah itu penting bagi memastikan perundangan berkenaan sedia dikuatkuasakan sepenuhnya menjelang 30 September depan.

Garis masa tersebut dipersetujui menerusi perjanjian tambahan yang dimuktamadkan semasa Permukiman Pemimpin Malaysia-Singapura ke-12 pada 4 Disember 2025.

“Kerajaan yakin bahawa dengan kuasa diperuntukkan dalam RUU ini, kedaulatan dan kepentingan negara akan terpelihara termasuk perlindungan terhadap pegawai penguat kuasa Malaysia yang bertugas di Singapura (Stesen Woodlands North),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) RTS Link Johor Bahru-Singapura 2026 bacaan kali kedua di Dewan Rakyat.

Penggubalan RUU itu bertujuan membolehkan pemantauan serta penguatkuasaan undang-undang bagi pengoperasian RTS Link yang menghubungkan Stesen Bukit Chagar di Johor Bahru dan Stesen Woodlands North di Singapura dilaksanakan tanpa menjejaskan undang-undang sedia ada.

Sementara itu, Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Alice Lau Kiong Yieng memaklumkan sesi perbahasan bagi rang undang-undang berkenaan akan bermula pada Khamis.