NEW YORK, 29 September- Malaysia menyeru Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) menubuhkan semula jawatankuasa khas bagi menentang dasar aparteid.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, Pendudukan haram Israel telah menanamkan sistem aparteid dan diskriminasi terhadap rakyat Palestin.
Tegasnya, Israel telah melanggar setiap undang-undang antarabangsa yang wujud dan sudah tiba masanya untuk merealisasikan hak Palestin sebagai sebuah negara berdaulat dan keahlian penuh dalam Perhimpunan Agung PBB.
"Tindakan Israel hari demi hari, menimbulkan keraguan sama ada mereka benar-benar mempercayai sistem PBB atau menghargai keahlian mereka dalam organisasi ini. Pendudukan haram Israel telah menanamkan sistem aparheid dan diskriminasi terhadap rakyat Palestin.
"Rejim Israel sendiri telah mengisytiharkan niat untuk memusnahkan seluruh populasi. Ini, tanpa ragu, adalah satu pembunuhan beramai-ramai. PBB tidak boleh berdiam diri.
"Kita mesti segera menggunakan proses yang telah diasaskan oleh Perhimpunan Agung ini, bersama mekanisme yang dibangunkan oleh Majlis Hak Asasi Manusia," katanya.
Datuk Seri Mohamad Hasan yang mewakili Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap semasa sesi debat umum di Perhimpunan Agung Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York.
Tambahnya, Malaysia juga menuntut agar Majlis Keselamatan mengguna pakai kuasa bawah piagam PBB untuk mendesak gencatan senjata di Gaza.
Malaysia turut menggesa minoriti yang menentang Palestin sebagai negara anggota untuk menyertai majoriti.
Dalam undian pada Sesi Kecemasan Khas ke-10 Mei lalu, 143 negara menyokong untuk menimbang permohonan Palestin sebagai negara anggota, 25 berkecuali dan sembilan menentang.
Dalam perkembangan sama, Malaysia mendesak pelantikan segera Wakil Khas PBB bagi memerangi Islamofobia.
Datuk Seri Mohamad berkata, Malaysia bersedia menyokong sebarang usaha yang diambil PBB untuk memupuk dialog antara komuniti melibatkan isu Islamofobia.
"Kami terkejut dengan trend kebencian yang membimbangkan, sikap tidak bertoleransi dan tindakan keganasan terhadap umat Islam. Ini tidak boleh diteruskan.
"Dalam era globalisasi, ada ruang untuk semua orang hidup bersama dan adalah tugas kita, bawah panji dunia yang bersatu, untuk memastikan bahawa keamanan itu akan berlaku. Kita mesti mengambil tindakan sekarang," katanya.
Tambahnya, walaupun Islamofobia adalah ancaman kepada umat Islam, isu kebencian yang lebih luas terhadap pengikut mana-mana agama akan merosakkan nilai-nilai keadilan dan keamanan yang kita semua berikrar untuk lindungi.