PETALING JAYA, 24 Julai - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa Kemboja dan Thailand merupakan anggota penting ASEAN dan menyeru kedua-dua negara agar menyelesaikan pertikaian sempadan mereka secara aman.
"Mereka adalah negara anggota ASEAN yang penting dan sangat dekat dengan Malaysia.
"Saya telah menghantar mesej kepada kedua-dua Perdana Menteri dan berharap dapat berbicara dengan mereka malam ini," katanya.
Datuk Seri Anwar berkata demikian selepas menghadiri Sidang Kemuncak Semikonduktor ASEAN 2025 (ASEMIS ASEAN 2025) di sini, hari ini.
Menurutnya, langkah minimum yang boleh diambil oleh kedua-dua pihak adalah meredakan ketegangan dan memulakan rundingan, sebagai satu-satunya jalan penyelesaian ketika ini.
"Saya menjangkakan agar mereka bertindak menurunkan ketegangan dan memulakan rundingan demi penyelesaian damai,” ujarnya.
Perdana Menteri turut memaklumkan komunikasi awal telah dimulakan sejak bulan lalu dan Malaysia kini terus menjalin hubungan secara rasmi dengan kedua-dua negara terbabit.
"Saya telah berbincang dengan kedua-dua Perdana Menteri bulan lalu.
"Mesej susulan juga telah dihantar dan saya berhasrat untuk bercakap dengan mereka secara langsung dalam masa terdekat," jelas beliau.
Ketika ditanya sama ada ASEAN akan memainkan peranan yang lebih aktif dalam menangani isu berkenaan, Perdana Menteri menjawab secara berhati-hati.
"Masih terlalu awal untuk mencadangkan langkah-langkah tertentu.
"Namun, kedua-dua negara mahukan penyelesaian politik secara aman dan kita harus menghormati proses itu," katanya.