KUALA LUMPUR, 23 Oktober - Malaysia menyeru negara Asia memperluas kerjasama penyelarasan data dan inovasi bersama serta mengukuhkan peranan sebagai peneraju serantau dalam bidang sains dan daya jangka.
Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Mohammad Yusof Apdal berkata, pendekatan itu penting dalam memastikan rantau ini lebih bersedia menghadapi cabaran global.
"Menerusi Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), kerajaan akan menerbitkan laporan analisis megatrend berkala menggunakan pendekatan daya jangka untuk memandu pelaksanaan aktiviti penyelidikan dan inovasi," katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Bengkel ASM-AASSA bertemakan 'Menangani Cabaran Global Dunia Pascanormal', anjuran bersama Akademi Sains Malaysia (ASM) dan Association of Academies and Societies of Sciences in Asia (AASSA).
Datuk Mohammad Yusof turut memaklumkan pelancaran laporan 'ASEAN Ahead: ASEAN STI Ecosystem Foresight 2035 and Beyond' oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 24 Oktober ini, hasil kerjasama Malaysia dengan penyelidik ASEAN.
Pada masa sama, Malaysia turut memperkenalkan Perikatan Sains Terbuka APEC (APECOSA) bagi menghubungkan pusat sains terbuka di rantau APEC menjelang 2026 ke arah perkongsian data terbuka dan bertanggungjawab.
Pendekatan itu perlu disokong bagi memastikan rantau ini bukan sahaja bertindak balas terhadap perubahan global, tetapi turut membentuk masa depan melalui sains dan inovasi.