fb fb fb fb fb

Malaysia sasar latih 60,000 jurutera STEM menjelang 2030

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz/Foto STEM

GEORGE TOWN, 9 September - Pelan Tindakan Bakat Sains, Teknologi, Kejuruteraan, dan Matematik (STEM) Pulau Pinang yang baru sahaja dilancarkan pada Ahad, bakal memainkan peranan penting dalam menyokong Strategi Semikonduktor Nasional (NSS).

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, pelan ini akan mendapat sokongan daripada sebahagian peruntukan sebanyak RM25 bilion yang telah disediakan untuk mengoperasikan strategi semikonduktor negara.

Katanya, pelan itu juga memastikan Malaysia kekal sebagai hab pembuatan dan perkhidmatan serantau, terutama dalam sektor semikonduktor dan elektronik, yang merupakan antara sektor penting dalam pertumbuhan ekonomi global.

Dalam ucapannya, Tengku Zafrul berkata pelan tindakan ini juga menyumbang kepada salah satu sasaran utama NSS, iaitu melatih seramai 60,000 jurutera berkemahiran tinggi menjelang 2030.

“Pelan Tindakan Bakat STEM Pulau Pinang adalah contoh terbaik pendekatan seluruh negara untuk menangani cabaran dan merebut peluang dalam landskap perindustrian Malaysia yang berkembang pesat.

“Pelan tindakan ini selaras dengan sempurna dengan objektif Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030), NSS dan Strategi Pelaburan Hijau (GIS),” katanya.

Beliau berkata demikian pada pelancaran pelan tindakan itu di Tech Dome Penang, Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) malam tadi.

Beliau turut menegaskan bahawa selain semikonduktor, sektor-sektor lain seperti elektronik, teknologi hijau, aeroangkasa, peranti perubatan, farmaseutikal, dan ekonomi digital juga mempunyai potensi besar untuk dikembangkan.

Katanya, kesemua sektor ini berdepan cabaran yang sama iaitu kekurangan bakat berkemahiran tinggi.

Justeru, pelan tindakan ini adalah langkah penting dalam memastikan keperluan tenaga kerja yang mampan dapat dipenuhi.

"Kementerian telah meletakkan pendidikan STEM sebagai faktor penting dalam usaha memajukan semula industri di Malaysia.

"Ini kerana untuk menjadi peneraju global dalam industri teknologi tinggi, negara memerlukan tenaga kerja yang mahir dan mencukupi dalam bidang STEM," katanya.

GRACE AISYAH KEDAYAN