PUTRAJAYA, 24 Mac- Malaysia menyambut baik pengumuman Kerajaan Arab Saudi menarik balik kebanyakan sekatan berkaitan COVID-19.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad menerusi satu kenyataan memaklumkan, sekatan yang dimaksudkan termasuk perjalanan, penjarakan fizikal, ujian antigen pantas dan kuarantin wajib ke negara tersebut.
Keputusan menarik balik sekatan ini dibuat setelah Kerajaan Arab Saudi menilai pelbagai aspek dan semua protokol kesihatan, sejajar dengan situasi pandemik yang bertambah baik di negara tersebut.
"Dengan penarikan sekatan ini, diharap lebih ramai umat Islam di negara ini dapat menunaikan ibadat umrah dan haji pada tahun ini dan masa-masa yang akan datang.
"Kerajaan Malaysia khususnya Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) akan sentiasa terus bekerjasama dengan Kerajaan Arab Saudi bagi melakukan yang terbaik demi keselamatan dan kesihatan jemaah umrah dan haji," katanya.
Dalam masa sama, Lembaga Tabung Haji (TH) dalam satu kenyataan turut menyambut baik pengumuman tersebut.
TH yakin kerajaan Arab Saudi telah meneliti pelbagai aspek bagi memastikan keselamatan penduduk serta jemaah umrah dan haji terjamin.
(Gambar Fail/ AFP)