fb fb fb fb fb

Malaysia salur RM10 juta bantu mangsa gempa bumi Myanmar

FOTO FB Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR, 30 Mac- Malaysia menzahirkan solidariti terhadap rakyat Myanmar yang terkesan akibat bencana gempa bumi baru-baru ini dengan menyalurkan bantuan kemanusiaan berjumlah RM10 juta sebagai permulaan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dalam kenyataan hari ini, berkata bantuan itu mencerminkan keprihatinan Malaysia terhadap penderitaan mangsa serta usaha berterusan negara dalam menangani krisis kemanusiaan di rantau ini.

Sebagai Pengerusi ASEAN 2025, Malaysia turut mengambil langkah proaktif dengan menghantar misi kemanusiaan ke Myanmar minggu hadapan yang akan diketuai oleh Menteri Luar Negeri.

“Misi ini bertujuan menzahirkan sokongan padu Malaysia terhadap operasi mencari dan menyelamat yang sedang giat dijalankan, termasuk oleh pasukan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) yang telah memulakan penugasan di lapangan bermula hari ini,” katanya.

Dalam pada itu, Malaysia menegaskan kepentingan kerjasama erat dalam kalangan Negara-Negara Anggota ASEAN bagi memastikan tindakan yang diambil bersifat cepat, berkesan dan menyeluruh dalam menangani krisis ini.

Menurut Perdana Menteri, Malaysia akan terus bekerjasama rapat dengan negara-negara ASEAN bagi menyelaras bantuan yang diperlukan Myanmar agar setiap usaha yang dilaksanakan memberi impak bermakna kepada mangsa yang memerlukan.

"Malaysia kekal komited untuk memperkukuh perpaduan serantau dan memacu agenda kemanusiaan ASEAN berteraskan nilai kasih sayang, tanggungjawab bersama serta solidariti," katanya.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE