fb fb fb fb fb

Malaysia salur bantuan tambahan AS$1 juta kepada Palestin

Sidang media sempena Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN ke-58 di ibu negara. - Foto Bernama

KUALA LUMPUR, 11 Julai - Malaysia akan menyalurkan tambahan bantuan kemanusiaan sebanyak AS$1 juta kepada Palestin, menjadikan jumlah keseluruhan sumbangan negara mencecah AS$16 juta sejak September 2023.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, bantuan itu akan disalurkan sama rata kepada dua organisasi utama iaitu Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa Bersatu untuk Pelarian Palestin (UNRWA) dan Bulan Sabit Merah Palestin.

Jelas beliau, penyaluran melalui organisasi tersebut dibuat berikutan cabaran untuk menghantar bantuan secara langsung ke kawasan bergolak, selain memastikan keperluan asas seperti makanan dan ubat-ubatan sampai kepada rakyat yang memerlukan.

“UNRWA dan Bulan Sabit Merah Palestin telah terbukti menjadi nadi utama bantuan di sana. Kita tidak beri kepada individu, tetapi kepada saluran yang terbukti berkesan,” katanya pada sidang media sempena Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN ke-58 di ibu negara.

Tambah beliau, Malaysia kekal komited membantu rakyat Palestin melalui pendekatan bersasar merangkumi bantuan kemanusiaan, pemulihan infrastruktur, pembangunan negara dan belia.

Bantuan teknikal dan latihan peningkatan kapasiti juga akan diteruskan menerusi Program Kerjasama Teknikal Malaysia (MTCP).

TUN JULIA MOHD TAHIR