fb fb fb fb fb

Malaysia cadang lawat semua negara ASEAN sebelum AIPA 2025

Johari Abdul

KUALA LUMPUR, 28 Oktober- Malaysia bercadang untuk melawat setiap negara anggota ASEAN sebelum persidangan Perhimpunan Agung Antara Parlimen ASEAN (AIPA) yang dijadual berlangsung pada September 2025.

Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul yang juga Presiden AIPA ke-46 berkata perancangan tersebut sedang dirangka dan akan dilaksanakan dalam masa terdekat.

"Kita mengambil sikap bahawa, jika boleh, kita ingin melawat semua negara jiran dalam ASEAN sebelum persidangan pada September tahun depan.

"Saya akan mencuba sebaik mungkin untuk melawat semua negara anggota ASEAN ini. Insya-Allah, rancangan sedang dibuat, dan saya jangka mungkin dalam masa terdekat, hingga tamat sidang Dewan Rakyat pada 12 Disember ini.

"Rancangan sedang diatur untuk saya mengunjungi semua speaker di dewan-dewan ASEAN," ujarnya dalam satu sidang media di bangunan Parlimen di sini hari ini.

Terdahulu, beliau telah membuat lawatan rasmi ke Vietnam untuk meneruskan pengukuhan hubungan diplomatik Malaysia dengan negara-negara ASEAN.

Katanya, kunjungan tersebut turut menumpukan kepada persiapan Malaysia bagi penganjuran AIPA ke-46 dengan matlamat meningkatkan kerjasama dalam bidang perdagangan, pelaburan, tenaga bersih, serta pertukaran budaya untuk memperkukuh ASEAN yang inklusif dan mampan.

SITI AISHAH MD ISA