fb fb fb fb fb

Malaysia raih RM76.1 bilion potensi pelaburan asing, setakat Mac ini - PM

Foto BERNAMA

PUTRAJAYA, 21 Mac- Malaysia telah berjaya menarik potensi pelaburan asing berjumlah RM76.1 bilion, setakat Mac tahun ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kejayaan itu disumbang oleh Misi Perdagangan dan Pelaburan di Australia, Jerman dan Perancis.

Sikap kita berkawan dan diplomasi. Mungkin timbul kesan negatif di Eropah dan Amerika Syarikat. Tetapi setakat ini tidak ada. Walaupun mereka tahu pendirian saya soal Gaza ini agak tegas.

"Dengan krisis yang disebut oleh Jerman, "De Risk", dia tak mahu tumpu sangat kepada China. Oleh itu dia nak berdagang dengan China tetapi dia nak pilih satu negara lain yang agak bebas, yang boleh dimanfaatkan."

"Mereka memilih Malaysia sebagai hab untuk pelaburan dan pertumbuhan," kata Anwar dalam ucapannya pada Majlis Perhimpunan Warga Kementerian Kewangan di Bangunan Perbendaharaan, di sini.

Dalam pada itu, Perdana Menteri turut menyatakan 74 peratus projek perkilangan yang diluluskan dari tahun 2021 hingga 2023 telah siap atau sedang dalam pelaksanaan.

Sementara itu, Datuk Seri Anwar menegaskan bahawa kerajaan Persekutuan tidak pernah menyekat pemberian peruntukan kepada negeri Terengganu malah peruntukan negeri itu di bawah Kerajaan Madani adalah lebih tinggi daripada kerajaan terdahulu.

Peruntukan itu merangkumi perbelanjaan pembangunan negeri yang ditingkatkan kepada RM1.59 bilion pada tahun ini berbanding RM1.55 bilion, tahun lalu.

"Pemberian Persekutuan kepada negeri Terengganu untuk 2022, adalah RM399 juta. Untuk tahun 2023, kita tambah."

"Apabila PAS dan Bersatu dalam kerajaan dan kita dalam kerajaan, peruntukan masa kita lebih daripada masa PAS dan Bersatu. Zalim macam mana? Kita tambah jadi RM413.64 juta, tahun 2024 ada penambahan lagi," tambah Anwar.

Tambahnya, kerajaan juga telah menyalurkan pemberian wang ihsan untuk Terengganu berdasarkan hasil petroleum sebanyak RM786 juta pada tahun lepas.

 

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM