fb fb fb fb fb

Malaysia pertingkat hubungan perdagangan dengan China, melalui sektor pengangkutan

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 19 Disember- Koridor Perdagangan Darat-Laut Antarabangsa Baharu China yang menghubungkan Wilayah Barat China dengan negara-negara ASEAN dapat meningkatkan lagi kebolehcapaian perdagangan dua hala antara Malaysia dan China.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata rangkaian logistik lebih meluas meliputi pengangkutan darat dan laut mampu mengeratkan lagi hubungan perdagangan antara Malaysia dan China, khususnya dengan bandar raya ChongQing.

"Chongqing ini merupakan satu pusat yang boleh menghubungkan berpuluh bandar raya di negara China. Jadi, ini sudah tentu merupakan salah satu peluang kepada kita apabila mereka juga berminat untuk mengadakan hubungan perdagangan yang lebih besar dengan Malaysia

Begitu juga, menawarkan peluang kepada syarikat Malaysia untuk mengeksport barangan dan juga produk kita ke negara China dan juga sebaliknya," kata Anthony kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Kerjasama dan Pertukaran Serantau Koridor Perdagangan Darat-Laut Antarabangsa Baharu China (ChongQing)-Malaysia di ibu negara.

Tambah Anthony, Chongqing bukan sahaja berminat dengan produk durian dari Malaysia, malahan juga permintaan minyak sawit negara yang digunakan bagi tujuan kesihatan dan makanan.

Dalam pada itu, Anthony Loke berkata Malaysia melalui Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB) juga sedang merangka hubungan jalan kereta api dari Malaysia-Laos untuk barangan kargo.

"Jadi, mengikut rangkaian keretapi, memang kita juga sedang merangka perhubungan kereta api bagi tujuan mengangkut barangan atau kargo dari Malaysia, boleh terus sampai ke Laos.

Kalau boleh sampai Laos, maksudnya boleh sampai ke China kerana Laos dan China bersempadan. Jadi, katakan daripada Port Klang boleh sampai ke Laos melalui Thailand. Ini memang sedang diusahakan oleh KTMB dan kita harap lebih banyak kerjasama dalam sektor kereta api," tambah Anthony.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM