DHAKA, 4 Oktober- Kerajaan Bangladesh telah memohon kepada Malaysia untuk memperluas pengambilan tenaga kerja dari republik tersebut, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Dalam pertemuan dengan Ketua Penasihat Kerajaan Sementara Bangladesh Dr. Muhammad Yunus, Anwar menunjukkan komitmen Malaysia untuk mempertimbangkan permohonan tersebut.
"Saya akan memberi pertimbangan serius untuk fasa pertama, tertakluk kepada pematuhan semua syarat yang ditetapkan, supaya proses pengambilan dapat dilaksanakan secepat mungkin," katanya.
Anwar memaklumkan Malaysia akan memberi keutamaan kepada permohonan pekerja Bangladesh susulan krisis politik di negara mereka.
Beliau juga menekankan Malaysia bersedia untuk memperluas kerjasama dengan Bangladesh dalam pelbagai bidang, termasuk pendidikan dan pertanian bagi memperkukuh hubungan antara kedua negara.
Perdana Menteri berkata demikian dalam sidang media bersama Dr Muhammad Yunus selepas mengadakan pertemuan dua hala di sini hari ini.
Anwar melakukan lawatan sehari dan ia yang pertama oleh ketua kerajaan asing sejak pembentukan kerajaan interim yang diketuai oleh Muhammad, pemenang hadiah Nobel.