fb fb fb fb fb

Malaysia perlukan ramai golongan pentadbir dalam sektor koperasi

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 9 Mei- Malaysia memerlukan lebih ramai golongan pentabdir dan pemimpin dalam sektor koperasi bagi mengendali kira-kira 15,800 koperasi seluruh negara.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Datuk Ewon Benedick berkata ke arah itu Yayasan Bank Rakyat digalak menjalin lebih banyak kerjasama dengan Universiti Keusahawanan Koperasi Malaysia (UKKM) dalam melahirkan lebih ramai graduan dalam bidang itu.

"Dengan keanggotaan 7.3 juta. Setakat tahun lepas, koperasi telah mencatatkan perolehan RM64 bilion. Ini menunjukkan sumbangan yang begitu besar kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK)."

"Oleh itu, sudah tentu kita memerlukan pentadbir-pentadbir koperasi, pemimpin-pemimpin koperasi bukan hanya mempunyai kepakaran, kepimpinan dalam koperasi tetapi yang mempunyai latar belakang pengajian dalam bidang pentadbiran koperasi ini," kata Datuk Ewon kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Kecermelangan Akademik Yayasan Bank Rakyat.

Universiti Keusahawanan Koperasi Malaysia (UKKM) merupakan universiti milik Institut Koperasi Malaysia (IKMa) yang juga agensi di bawah KUSKOP.

Ia memfokuskan pengurusan koperasi, perdagangan dan perniagaan selaras dengan usaha kementerian memartabatkan industri koperasi.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM