PUTRAJAYA, 28 Februari- Malaysia akan terus memperluas dan memperkukuh kedudukannya sebagai rakan penting Hong Kong dalam bidang perdagangan, pelaburan dan kerjasama ekonomi sedia ada antara kedua-dua pihak.
Menurut Kementerian Luar, kekuatan dan keakraban hubungan itu jelas diperlihatkan oleh nilai dagangan kedua-dua pihak.
"Pada tahun 2023, Malaysia dan Hong Kong melaporkan jumlah perdagangan sebanyak RM105.09 bilion, jumlah eksport direkod pada RM89.84 bilion manakala jumlah import bernilai RM15.25 bilion, dengan imbangan perdagangan memihak kepada Malaysia," menurut kenyataan itu.
Malaysia turut mengalu-alukan pengumuman Wilayah Pentadbiran Khas Hong Kong (HKSAR) untuk menubuhkan Pejabat Ekonomi dan Perdagangan Hong Kong (HKETO) yang baharu di Kuala Lumpur.
Pembukaan itu mencerminkan usaha berterusan untuk mengukuhkan lagi hubungan ekonomi dan perdagangan antara HKSAR dan Malaysia.
Pembukaan HKETO yang baharu di Kuala Lumpur bukan sahaja mencerminkan lembaran baru dalam hubungan Malaysia-Hong Kong tetapi juga menjadikan Ulang Tahun Ke-50 Hubungan Diplomatik Malaysia-China lebih bermakna.
Keputusan itu adalah susulan daripada cadangan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada Ketua Eksekutif HKSAR, Tuan Yang Terutama (TYT) John Lee Ka-Chiu semasa mesyuarat dua hala di Putrajaya pada Julai 2023.
Selain daripada lawatan Ketua Eksekutif HKSAR tahun lepas, Setiausaha Kewangan dan Setiausaha Perdagangan dan Pembangunan Ekonomi turut mengunjungi Malaysia pada Mac dan Julai 2023.