fb fb fb fb fb

Malaysia perlu tingkatkan kualiti sektor buruh - Fadillah

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof / Foto Bernama

KUCHING, 25 Ogos -Malaysia perlu memastikan kualiti sektor buruh dipertingkatkan dan semua pemain industri harus berusaha menjadikan negara ini sebagai destinasi pekerjaan yang selamat.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata ini selari dengan penarafan tahap dua yang dicapai oleh Malaysia dalam Laporan Jabatan Negara Amerika Syarikat mengenai Pemerdagangan Orang tahun 2024.

"Penarafan ini menunjukkan amalan terbaik dalam pemantauan, penguatkuasaan undang-undang dan komitmen untuk mengelakkan pemerdagangan orang serta buruh paksa," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Banteras Eksploitasi Pekerja di Pusat Konvensyen Borneo Kuching, di sini.

Tegas Fadillah, Malaysia tidak boleh dilihat sebagai negara yang mengamalkan buruh paksa, kerana hal tersebut boleh menyebabkan penarafan negara turun ke tahap tiga, seperti yang berlaku sebelum ini.

Keadaan ini, katanya, akan memberi implikasi terhadap sekatan eksport Malaysia akibat amalan buruh paksa oleh industri tertentu.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN