fb fb fb fb fb

Malaysia perlu percepat eksplorasi AI & aset digital untuk kekal kompetitif

FOTO FB Anwar Ibrahim

PUTRAJAYA, 24 Mac – Malaysia perlu segera mempercepatkan eksplorasi dan aplikasi teknologi kecerdasan buatan (AI) serta aset digital bagi memastikan negara kekal kompetitif dalam ekonomi global yang semakin mencabar.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menegaskan pendekatan rentas kementerian dan agensi perlu diadaptasi secara menyeluruh bagi menggalakkan inovasi serta memperkukuh ekosistem teknologi negara.

"Kita tidak boleh ketinggalan dalam arus perkembangan teknologi global. Malaysia mempunyai potensi besar dalam beberapa bidang utama, termasuk aset digital Islam dan industri halal. Oleh itu, keputusan mengenai hala tuju ini perlu dibuat dengan segera dan dilaksanakan secara efektif," menurutnya dalam satu hantaran di laman Facebook rasminya hari ini.

Selain itu, beliau turut menekankan keperluan untuk menangani ancaman siber serta membina keyakinan dalam kalangan industri dan institusi bagi memastikan pertumbuhan teknologi digital yang selamat dan berdaya saing.

"Bagi memastikan pelaksanaan lebih terancang, kerjasama strategik antara Kementerian Digital, MITI, Kementerian Kewangan, MOSTI, Bank Negara Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti melalui satu platform khas akan diwujudkan. Platform ini akan menyelaras strategi pembangunan AI dan aset digital secara sistematik dan menyeluruh, sekali gus memacu pertumbuhan ekonomi negara," jelasnya lagi.

Perdana Menteri, hari ini mempengerusikan mesyuarat bagi membincangkan strategi teknologi AI dan aset digital.

Turut dibincangkan, dasar perdagangan Amerika Syarikat bagi memastikan kerajaan memahami senario semasa serta dapat menilai implikasi terhadap industri dan pengeksport tempatan

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE