
BUKIT MERTAJAM, 24 Januari – Kerajaan menegaskan keperluan Malaysia melakukan lonjakan pembangunan secara menyeluruh bagi mengelakkan negara terus terperangkap dalam kategori negara berpendapatan sederhana.
- Perlu lonjakan pembangunan menyeluruh untuk elak negara terperangkap sebagai negara berpendapatan sederhana.
- Transformasi ekonomi dan digital digariskan sebagai teras utama usaha pembangunan.
- Pembangunan modal insan berterusan penting untuk memastikan rakyat menikmati manfaat pembangunan.
- Pelan perindustrian dan transformasi digital dirangka untuk memastikan hala tuju yang jelas.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, usaha itu perlu digerakkan melalui transformasi ekonomi, digital serta pembangunan modal insan yang berterusan.
Jelasnya, walaupun Malaysia telah meletakkan asas ekonomi yang kukuh, hala tuju yang jelas dan pelaksanaan berkesan di peringkat akar umbi, ia amat penting bagi memastikan rakyat menikmati manfaat sebenar pembangunan.
“Bila negara ini sudah meletakkan asas ekonomi yang lebih kukuh, ia perlu disusuli dengan hala tuju yang jelas supaya Malaysia tidak lagi terperangkap sebagai negara berpendapatan sederhana.
“Kita lihat perkembangannya berbanding negara lain, maju, kemudian tersangkut dalam satu perangkap. Oleh itu, kita merangka beberapa dasar dalam pelan perindustrian dan pelan transformasi digital,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Perasmian Seberang Perai ASPIRE Centre (SPACE) dan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) Santuni Komuniti di pekarangan Menara Bandaraya MBSP di sini.
Hadir sama, Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow dan Datuk Bandar Seberang Perai, Datuk Baderul Amin Abdul Hamid.
Dalam majlis tersebut, kira-kira 3,000 komuniti setempat hadir memeriahkan program santuni komuniti itu.