
PELABUHAN KLANG, 12 April – Kerajaan telah meluluskan Dasar Pasaran Karbon Kebangsaan bagi memperkukuh pengurusan serta perdagangan kredit karbon negara.
- Malaysia komited mengekalkan sekurang-kurangnya 50 peratus litupan hutan; kini mencapai 54.4 peratus, melebihi sasaran antarabangsa.
- Sabah dan Sarawak menyumbang kira-kira 63 hingga 64 peratus litupan hutan negara, berpotensi menerima manfaat lebih besar daripada perdagangan kredit karbon.
- Langkah dijangka mengurangkan pelepasan gas rumah hijau; Rang Undang-Undang Perubahan Iklim dimuktamadkan dan dijangka dibentangkan Jun.
Ia sekali gus meletakkan Malaysia di landasan tepat dalam memenuhi komitmen kelestarian global.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup memaklumkan bahawa inisiatif itu selaras dengan tanggungjawab Malaysia sebagai negara biodiversiti tinggi yang komited mengekalkan sekurang-kurangnya 50 peratus litupan hutan.
“Setakat ini, litupan hutan negara berada pada tahap 54.4 peratus, melebihi sasaran antarabangsa,” katanya ketika ditemui di Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri anjuran Momogun Society of Sabahan (MSS) di sini.
Beliau turut menjelaskan , Sabah dan Sarawak memainkan peranan besar dengan menyumbang kira-kira 63 hingga 64 peratus litupan hutan negara, sekali gus berpotensi menerima manfaat lebih besar daripada perdagangan kredit karbon.
Tambahnya, langkah berkenaan juga dijangka dapat membantu negara mengurangkan pelepasan gas rumah hijau secara signifikan melalui pengurusan sumber asli yang lebih sistematik.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau memaklumkan Rang Undang-Undang Perubahan Iklim sedang dimuktamadkan dan dijangka dibentangkan di Dewan Rakyat pada Jun ini.