
AMSTERDAM, 12 Mac – Malaysia mempergiat penggunaan teknologi mobiliti pintar dan pengurusan infrastruktur digital bagi memperkukuh rangkaian jalan raya serta menyokong pertumbuhan ekonomi mampan.
- Bergerak dari pendekatan pembinaan tradisional ke pengurusan mobiliti bersepadu berasaskan data dan teknologi digital.
- Memperluas penggunaan Intelligent Transport System dan platform digital untuk memantau serta mengoptimumkan aliran trafik.
- Memperkasa penyertaan awam menerusi aplikasi MYJalan dan projek seperti Lebuhraya Pan Borneo bagi memperkukuh logistik dan ekonomi.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, berkata negara kini beralih daripada pendekatan tradisional pembinaan jalan kepada model pengurusan mobiliti yang lebih bersepadu, dipacu data dan teknologi digital.
“Pendekatan baharu itu menggabungkan kepakaran kejuruteraan, teknologi digital serta penyertaan awam bagi memastikan pengurusan trafik dan infrastruktur dapat dilaksanakan dengan lebih cekap,” katanya ketika berucap pada Intertraffic Amsterdam, pameran mobiliti dan infrastruktur terkemuka dunia.
Malaysia ketika ini menyelenggara hampir 296,000 kilometer jalan raya, antara rangkaian terbesar di Asia Tenggara, termasuk lebih 5,000 kilometer lebuh raya yang menghubungkan bandar utama dan koridor ekonomi negara.
Namun, peningkatan mobiliti semakin ketara apabila 1.57 juta kenderaan baharu didaftarkan sepanjang tahun lalu bersamaan kira-kira 4,300 kenderaan sehari.
Bagi menangani cabaran itu, Kementerian Kerja Raya memperluaskan penggunaan Intelligent Transport System serta platform digital bagi memantau dan mengoptimumkan aliran trafik.
Penyertaan rakyat turut diperkasa melalui aplikasi MYJalan, yang membolehkan orang ramai melaporkan kerosakan jalan secara terus kepada pihak berkuasa.
Dalam masa sama, projek berskala besar seperti Lebuhraya Pan Borneo dijangka memperkukuh logistik dan membuka lebih banyak peluang ekonomi di Malaysia Timur.
Tegas beliau, masa depan pembangunan jalan raya bukan sekadar membina lebih banyak infrastruktur, tetapi membangunkan sistem yang lebih pintar, lebih selamat dan lebih mampan, demi meningkatkan kualiti hidup rakyat.