Malaysia nyatakan sokongan kepada Qatar, Bahrain

Foto Facebook Datuk Seri Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR, 7 Mac – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan simpati dan sokongan Malaysia kepada Qatar dan Bahrain yang sedang berdepan ancaman terhadap kedaulatan, infrastruktur dan keselamatan negara, akibat tindakan balas Iran terhadap serangan rejim Israel bersama Amerika Syarikat.

RINGKASAN BERITA AI
  • Perdana Menteri mengadakan perbualan rasmi dengan Perdana Menteri Qatar dan Putera Mahkota serta Perdana Menteri Bahrain mengenai perkembangan semasa.
  • Anwar menghargai usaha Qatar dan Bahrain menjaga keselamatan serta kebajikan rakyat Malaysia di kedua-dua negara.
  • Semua pemimpin sependapat mengutamakan pendekatan damai, menahan diri dan mengelakkan tindakan yang menjejaskan kestabilan serantau.

Beliau menerusi hantaran Facebook menyatakan perkara itu sewaktu perbualan dengan Perdana Menteri Qatar Sheikh Mohammed Abdulrahman Al Thani, kemudian dengan Putera Mahkota dan Perdana Menteri Bahrain, Putera Salman Hamad Al-Khalifa.

“Kami bertukar pandangan mengenai perkembangan semasa di Qatar dan Bahrain serta rantau Asia Barat, susulan konflik yang melibatkan Israel, Amerika Syarikat dan Iran.

‘Saya turut menghargai usaha Kerajaan Qatar dan Bahrain dalam menjamin keselamatan dan kebajikan rakyat Malaysia yang berada di kedua-dua negara tersebut,” menurut hantaran itu.

Perdana Menteri turut memaklumkan bahawa, kesemua pemimpin sependapat agar semua pihak mengutamakan pendekatan damai serta menahan diri daripada sebarang tindakan yang boleh menjejaskan kestabilan dan keamanan serantau.

“Semoga Ramadan yang mulia ini memperkukuh perpaduan ummah dan membuka ruang kepada keamanan serta kestabilan yang lebih berkekalan di rantau ini dan seluruh dunia,” tambah hantaran itu.