fb fb fb fb fb

Malaysia-New Zealand komited perkukuh hubungan, kembangkan kerjasama dua hala

Foto facebook Datuk Seri Anwar Ibrahim

PUTRAJAYA, 7 Jun- Malaysia dan New Zealand menzahirkan komitmen dalam memperkasa dan mengembangkan lagi kerjasama dua hala khususnya dalam sektor peralihan tenaga, perdagangan dan pelaburan, pendidikan serta pertahanan.

Komitmen itu dicapai melalui pertemuan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Timbalan Perdana Menteri New Zealand, Winston Peters di Putrajaya.

Turut dibincangkan, isu-isu serantau dan antarabangsa yang menjadi perhatian bersama. Ini termasuk, Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN tahun depan.

Dalam pertemuan hampir sejam itu, Datuk Seri Anwar turut mengalukan-alukan lawatan rasmi Perdana Menteri New Zealand, Christopher Luxon ke Malaysia pada awal September ini.

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar menyambut kunjungan hormat Peters yang juga Menteri Luar di Perdana Putra pukul 5.00 petang.

Pertemuan itu turut dihadiri Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Kunjungan Peters merupakan sebahagian daripada rangka lawatan kerja beliau ke Malaysia selama empat hari.

Hubungan diplomatik Malaysia-New Zealand terjalin sejak 25 September 1957.

Malaysia secara konsisten menerima peningkatan jumlah pelancong dari New Zealand setiap tahun. Pada 2022, seramai 18,238 warga New Zealand direkodkan melawat Malaysia.

Setakat Jun 2023, Malaysia kekal sebagai rakan dagang kedua terbesar New Zealand di rantau Pasifik.

ROSLINA BINTI DIN