fb fb fb fb fb

Malaysia negara pertama peroleh permit operasi 20 ambulans

Beberapa kenderaan juga ditempatkan di bangunan penginapan jemaah haji. 

MEKAH, 25 Mei- Malaysia melakar sejarah apabila menjadi negara pertama memperoleh permit bagi pengoperasian 20 ambulans di Pusat Rawatan Mekah dan Madinah. 

Kejayaan itu membolehkan Lembaga Tabung Haji (TH) memulakan operasi ambulans di Jeddah, Mekah dan Madinah secara sepenuhnya untuk musim haji kali ini.

Ketua Rombongan Haji, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata tiga buah ambulans ditempatkan di Pusat Rawatan Madinah manakala selebihnya di Mekah.

Beberapa kenderaan juga ditempatkan di bangunan penginapan jemaah haji. 

"TH telah memperolehi permit untuk keseluruhan 20 buah ambulans kita dapat tahap kategori 'advance life support' jadi menunjukkan bahawa ambulans yang digunakan oleh TH.

"Ini merupakan ambulans yang lebih canggih, lebih mempunyai kemudahan-kemudahan dan peralatan sehinggalah ke tahap boleh memberi bantuan kepada 'life support'," katanya pada sidang media di bangunan Ibu Pejabat TH di sini.

Menurutnya lagi, proses mendapatkan permit agak ketat kerana perlu melalui pemeriksaan dan penelitian pihak berkuasa tempatan termasuk daripada pihak Bulan Sabit Merah dan Kementerian Kesihatan Arab Saudi. 

Kejayaan itu juga mencerminkan ketersediaan dan profesionalisme pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang menghantar pasukan perubatan berkemahiran sehingga mendapat pengiktirafan di tahap yang tinggi. 

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM