PUTRAJAYA, 29 Mei- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengulangi ketegasannya dalam isu kemanusiaan di Gaza.
Beliau menyifatkan Malaysia berpegang teguh bahawa kezaliman itu tidak boleh dilakukan terhadap sesiapa walau apa juga agama sekali pun.
"Tadi saya dibisikkan tentang keperluan kita mengulangi ketegasan kita tentang nasib dan derita keluarga dan sahabat kita di Gaza kerana serangan itu bertubi-tubi dan hilang tahap kemanusiaan.
"Dan saya juga telah menegaskan dunia itu seolah-olah tidak mampu berbuat apa-apa bila masa orang Arab atau Palestin. Kezaliman itu tidak harus dilakukan terhadap sesiapa termasuk umat Islam, Buddha, Hindu, Kristian atau Yahudi... tidak harus dilakukan kezaliman," katanya dalam ucapan Majlis Ilmu Madani dan peluncuran terjemahan kitab fiqh zakat di sini.
Beliau turut menjelaskan, bawah pimpinan Kerajaan MADANI, keadilan akan ditegakkan kepada rakyat tanpa mengira agama dan berharap prinsip berkenaan dihormati bersama-sama.
Terdahulu, Perdana Menteri tiba di Kompleks Seri Perdana pada jam 7.50 malam diiringi Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Dr Zulkifli Hassan dan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.
Dalam pada itu Anwar juga sempat meluangkan masa hampir satu jam mengikuti sesi perkongsian ilmu bersama-sama tokoh jemputan Syeikh Dr Ali Muhyiddin Ali Al Qaradaghi dari Qatar.