fb fb fb fb fb

Malaysia mampu capai sasaran perdagangan, pelaburan tahun ini

Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz

KUALA LUMPUR, 22 Februari- Malaysia mampu capai sasaran perdagangan dan pelaburan yang ditetapkan tahun ini meskipun berlaku penyusutan nilai semasa ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat.

Perkara itu disokong dengan tonggak utama lain yang kekal mempunyai daya tarikan dan menarik minat pelabur global.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, pelabur akan mempertimbangkan prospek jangka panjang sebelum membuat keputusan berkenaan pelaburan.

"Ringgit merupakan satu daripada faktor utama. Mereka ingin melihat kestabilan ringgit dan saya berpandangan bahawa kita berada pada julat yang stabil. Kebiasaannya, pelabur akan mengambil masa antara enam bulan.

"Sehingga setahun untuk membuat keputusan mengenai pelaburan mereka, dan sehingga dua tahun untuk menubuhkan kilang di negara berkaitan, justeru mereka tidak terlalu menumpukan kepada ketidaktentuan mata wang," katanya kepada pemberita selepas melancarkan jenama kenderaan elektrik terbaharu BYD Malaysia, BYD SEAL di ibu negara.

Bagaimanapun kerajaan akan terus memantau rapat perkembangan ekonomi global termasuk penetapan kadar faedah di ekonomi utama seluruh dunia serta kesannya kepada prestasi ringgit.

Berkenaan prospek sektor perdagangan, Zafrul menjangkakan sektor itu akan berkembang sebanyak lima peratus tahun ini.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI