fb fb fb fb fb

Malaysia laksana kajian, guna semula Nelfinavir sebagai rawatan demam denggi

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad

SHAH ALAM, 4 Mac- Malaysia kini sedang menjalankan penyelidikan dan ujian klinikal mengenai penggunaan ubat antiviral, Nelfinavir bagi merawat pesakit demam denggi.

Menurut Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, proses kajian semula itu kini berada di peringkat ujian klinikal bagi menguji keberkesanan ubat yang sebelum ini telah digunakan dalam vaksin melawan penyakit Hepatitis C dan juga ubatan rawatan pesakit AIDS. 

"Kajian penggunaan semula ubat ini turut melibatkan kerjasama daripada Drugs for Neglected Diseases initiative (DNDi), sebuah organisasi penyelidikan dan pembangunan yang sebelum ini bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan menghasilkan rawatan Hepatitis C."

"Apa pun, usaha yang dilakukan dalam membangunkan satu vaksin atau ubat antiviral menuntut satu tempoh masa yang lama bagi memenuhi prosedur tertentu seperti aspek keberkesanan dan keselamatan," kata Dzulkefly pada sidang media selepas merasmikan Hari Keterlihatan Penyelidikan Denggi 2024 di Institut Kesihatan Negara (NIH) di sini, hari ini.

Tambah Dzulkefly, proses penyelidikan kini sudah memasuki peringkat ketiga dan dijangka dapat digunakan selewat-lewatnya pada tahun hadapan.

Proses penyelidikan itu turut disertai India, Brazil dan Thailand.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM