fb fb fb fb fb

Malaysia & Kyrgyzstan setuju kukuhkan kerjasama TVET, STEM, MTCP

Foto Facebook Datuk Seri Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR, 29 Mei- Pertemuan antara Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Ketua Jabatan Dasar Luar Negeri kepada Presiden Kyrgyzstan, Muratbek Azymbakiev hari ini membincangkan hala tuju kerjasama dalam pendidikan.

Perdana Menteri menerusi hantaran di facebook berkata kedua-dua pihak bersetuju untuk mengukuhkan usahama, termasuk menerusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) untuk pelajar dan guru Kyrgyzstan.

"Berhubung Program Kerjasama Teknikal Malaysia (MTCP), Malaysia bersetuju untuk melatih lebih ramai peserta dari Republik Kyrgyzstan dalam pelbagai bidang", katanya.

Pertemuan itu turut membincangkan pelantikan Penasihat Khas dari Malaysia ke Republik Kyrgyzstan untuk membantu dalam pembangunan ekonomi Kyrgyz.

"Dalam hal ini, saya maklumkan beberapa calon berpotensi telah dikenal pasti dan sedang dalam proses disenarai pendek oleh Malaysia", katanya menerusi facebook.

Menurutnya, Muratbek juga menyampaikan surat dan cenderahati daripada Presiden Kyrgyzstan dan Ketua Kabinet.

"Saya titipkan harapan agar hubungan kedua-dua negara terus terjalin lebih erat pada masa akan datang.

Terdahulu, Muratbek Azymbakiev mengadakan kunjungan hormat ke atas Perdana Menteri Datuk Seri Anwar di Perdana Putra, Putrajaya hari ini.

ROSLINA BINTI DIN