fb fb fb fb fb

Malaysia kutuk serangan berterusan Israel di Palestin

Foto AFP

PUTRAJAYA, 30 Ogos- Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya pencerobohan dan kekejaman berterusan Israel di seluruh Palestin terutama di Gaza dan Tebing Barat.

Menurut Wisma Putra, serangan besar-besaran ke atas bandar Jenin, Tulkarem, Tubas, dan Nablus di Tebing Barat sejak 48 jam lalu jelas melanggar undang-undang antarabangsa.

Ini termasuk undang-undang hak asasi manusia antarabangsa dan undang-undang kemanusiaan antarabangsa.

Operasi oleh rejim itu di Tebing Barat telah mengakibatkan kemusnahan dan kematian lebih 600 rakyat Palestin sejak Oktober tahun lalu.

Sehingga kini, rejim Israel masih meneruskan serangan ketenteraan di Tebing Barat, serta pembersihan etnik dan genosid di Gaza, mengakibatkan lebih 40,000 rakyat Palestin telah terkorban.

"Malaysia dan masyarakat antarabangsa telah menyuarakan sokongan padu terhadap cadangan gencatan senjata tiga fasa oleh Amerika Syarikat (AS) seperti yang diperakui oleh Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) dalam Resolusi 2735 (2024).

"Namun, Israel terus merumitkan lagi rundingan gencatan senjata yang dirundingkan oleh AS, Mesir dan Qatar.

"Malaysia juga menyuarakan kecaman keras terhadap perluasan penempatan Israel, termasuk tindakan peneroka haram Israel di Tebing Barat termasuk Baitulmaqdis Timur dan Masjid Al-Aqsa.

"Resolusi Majlis Keselamatan 2334 (2016) dengan jelas menyatakan bahawa aktiviti penempatan Israel melanggar undang-undang antarabangsa dan tidak mempunyai kesahihan di sisi undang-undang, dan menuntut Israel menghentikan aktiviti tersebut.

"Dalam hal ini, Malaysia menganggap keputusan AS untuk mengenakan sekatan terhadap kumpulan peneroka haram Israel adalah selaras dengan beberapa resolusi PBB, Konvensyen Geneva Keempat, dan keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa pada tahun ini," menurut kenyataan itu.

Malaysia akan terus berpegang teguh dengan komitmen terhadap perjuangan Palestin dan meneruskan usaha ke arah penubuhan negara Palestin yang merdeka dan berdaulat berdasarkan sempadan pra-1967, dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara.

Selain itu, Malaysia juga akan bekerjasama dengan negara-negara yang berfikiran sama untuk kemasukan negara Palestin ke PBB sebagai anggota penuh.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM