VLADIVOSTOK, 5 September- Malaysia, selaku Pengerusi ASEAN pada 2025, kekal komited untuk memperkukuh pemusatan blok itu sambil meneroka sinergi dengan rakan dialog serantau dan utama, kata Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata Malaysia akan mempertingkatkan penglibatan dengan subrantau dan rakan strategik, termasuk Rusia, untuk memupuk pertumbuhan ekonomi, kerjasama keselamatan, dan pertukaran budaya, kata beliau semasa menyampaikan ucaptama di Sesi Pleno Forum Ekonomi Timur (EEF) ke-9 pada Khamis, di sini.
"Pemusatan ASEAN adalah tunjang bagi membina konsensus yang mengikat negara anggota dalam tindakan bersama. Ia akan menjadi keutamaan dalam agenda Malaysia ketika mengambil alih jawatan pengerusi.
Perkongsian ASEAN-Rusia adalah penting dalam mempromosikan kestabilan serantau dan kemajuan ekonomi. Kami percaya dengan memanfaatkan hubungan ini, kita dapat memperdalam kerjasama dalam pelbagai sektor," kata Anwar semasa sesi yang diadakan di Far Eastern Federal University, Vladivostok, Rusia, dari 3 hingga 6 Sept.
EEF yang bertemakan "Far East 2030: Let's Join Forces, Creating Opportunities," sesi ini turut dihadiri Presiden Rusia Vladimir Putin dan Naib Presiden China Han Zheng.
Anwar menekankan pendekatan proaktif Malaysia dalam melakukan pelarasan dengan kebangkitan Selatan Global dengan menyifatkannya bukan sahaja sebagai peralihan ekonomi tetapi juga penstrukturan semula pengaruh global.
Beliau berkata Selatan Global yang merangkumi negara-negara di Asia, Afrika, dan Amerika Latin sedang membentuk semula ekonomi dunia.
Anggaran terkini menunjukkan bahawa Selatan Global menyumbang kira-kira 40 peratus daripada keluaran ekonomi global dan didiami 85 peratus populasi dunia.
"Bagi Malaysia, adalah penting untuk membina hubungan yang kukuh dengan ekonomi yang sedang meningkat naik untuk berkongsi dalam pertumbuhan mereka dan menyumbang orde global yang lebih seimbang.
Menjelang 2030, diunjurkan tiga daripada empat ekonomi terbesar akan datang dari Selatan Global. Kebangkitan ini memberikan cabaran dan peluang untuk Malaysia," katanya.
Beliau berkata Malaysia sedang giat meneroka peluang dalam Selatan Global, dengan matlamat untuk menggalakkan paradigma pembangunan baharu yang lebih inklusif, saksama, mampan, dan berdaya tahan.
"Dalam dunia yang semakin kompleks, kemakmuran masa depan kita bergantung pada keupayaan kita untuk menyesuaikan diri, berinovasi, dan membina hubungan yang melangkaui sempadan tradisional. Selatan Global sedang bangkit dan Malaysia berhasrat untuk bangkit bersamanya," katanya.- BERNAMA