fb fb fb fb fb

Malaysia konsisten sokong Palestin di Sidang Antarabangsa

Foto REUTERS

KUALA LUMPUR, 6 Oktober 2025– Malaysia menegaskan pendirian konsisten dalam menyokong perjuangan rakyat Palestin dan menolak sebarang bentuk kezaliman.

Timbalan Menteri Luar Negeri, Datuk Mohamad Alamin berkata, Malaysia kekal lantang menyuarakan isu Palestin di semua platform antarabangsa termasuk Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB), Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM) dan ASEAN.

"Malaysia dalam semua platform antarabangsa termasuk Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB), Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM), ASEAN, telah dan akan terus menegaskan sokongan penuh terhadap perjuangan dan hak rakyat Palestin untuk menubuhkan sebuah negara yang merdeka dan berdaulat berdasarkan persempadanan pra 1967, dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negaranya," tegas beliau ketika menjawab pertanyaan yang dikemukakan Ahli Parlimen Ledang, Syed Ibrahim Syed Noh di Dewan Rakyat.

Sidang dewan juga dimaklumkan bahawa Malaysia menyokong tindakan undang-undang antarabangsa terhadap Israel, termasuk menghentikan bekalan senjata, mengkaji keanggotaan rejim itu dalam PBB serta pelaksanaan waran tangkap ICC terhadap kepimpinan Israel.

Datuk Mohamad turut mengulangi sokongan Malaysia terhadap Deklarasi New York mengenai penyelesaian dua negara yang diluluskan Perhimpunan Agung PBB pada 12 September lalu.

"Malaysia menegaskan bahawa deklarasi ini perlu menjamin secara nyata hak kebebasan dan kedaulatan Palestin sepenuhnya, mematuhi lunas perundangan antarabangsa dan hak penubuhan negara Palestin yang merdeka dan berdaulat." tambahnya.

SITI NOORAIN ABDULLAH