KUALA LUMPUR, 18 September - Malaysia komited menjadi peneraju halal global menerusi penubuhan Majlis Pembangunan Halal Dunia (WHDC).
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi penubuhan itu untuk menyelaras perdagangan, pelaburan dan inovasi dalam ekonomi halal.
Katanya, WHDC akan dimulakan dengan keahlian yang kecil tetapi strategik, mempercepat pembinaan kapasiti, penyelidikan dan pembangunan serta memberikan impak ekonomi yang ketara.
"Malaysia sedang mempelopori usaha menubuhkan Majlis Pembangunan Halal Dunia (WHDC), sebuah platform untuk menyelaras perdagangan, pelaburan dan inovasi, mempercepat pembangunan kapasiti serta menggerakkan penyelidikan dan pembangunan kepada impak ekonomi sebenar.
"Majlis ini akan bermula dengan keanggotaan kecil tetapi strategik, membina gabungan yang dinamik serta berorientasikan pasaran," katanya.
Teks ucapan beliau disampaikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar yang mewakili Timbalan Perdana Menteri pada Majlis makan malam sempena Sidang Kemuncak Halal Global 2025 di ibu negara pada Rabu.
Beliau yang juga Pengerusi Majlis Pembangunan Industri Halal Malaysia turut mencadangkan Halal+ 2030, satu gerakan global yang mengintegrasikan halal dengan prinsip alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) serta mempercepat transformasi digital melalui AI, blok rantai dan IoT.
Beliau berkata usaha itu juga meliputi penggabungan produk halal dalam sektor makanan, farmaseutikal, kosmetik, pelancongan dan fesyen serta melahirkan pemimpin masa depan melalui TVET dan latihan antarabangsa.
Tambahnya, Malaysia melihat beberapa peluang utama melalui gerakan itu termasuk Laluan Naik Taraf PKS yang memudahkan mereka mendapatkan pensijilan halal secara lebih cepat serta berkesan.
“Ketika ini, pertindihan dan kelewatan menjadi kekangan. Kita mesti memperluas badan pensijilan diiktiraf dan bergerak ke arah pengiktirafan bersama rasmi antara negara,” katanya.
Beliau menegaskan, kedua-dua cadangan itu mencerminkan bahawa ekonomi halal bukan sahaja mengenai pasaran dan keuntungan, malah turut melibatkan aspek diplomasi, pengaruh serta kepimpinan global.