KUALA LUMPUR, 18 Mei- Malaysia menggerakkan rangkaian Institut dan Pusat Kategori 2 UNESCO dalam memacu kemajuan pencapaian Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) secara transformatif.
Matlamatnya adalah sebagai sumber kepakaran serta medan pertukaran ilmu bagi menangani cabaran dunia yang mendesak bersama rakan serantau dan global.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Chang Lih Kang berkata Institut dan Pusat Kategori Dua (C2C) adalah platform strategik bagi UNESCO membantu negara anggota.
"Melalui perkongsian strategik dan pendekatan inovatif, C2C akan bertindak sebagai hab dinamik kecemerlangan saintifik, memacu kemajuan ke arah perkongsian visi dunia yang lebih saksama, berdaya tahan dan mampan," kata Chang dalam ucapan penutup sesi pleno Simposium Antarabangsa Bagi Insititut dan Pusat Kategori 2 UNESCO dalam bidang Sains Semula Jadi, pada Jumaat.
Menurutnya, C2C di bawah naungan UNESCO memainkan peranan penting dalam menghadapi cabaran seperti perubahan iklim, wabak penyakit dan ketidakjaminan makanan yang memerlukan tindakan segera.
Tambahnya, melalui penyelidikan inovatif dan pendekatan antara disiplin, mampu menghasilkan penyelesaian mampan yang memberi manfaat kepada manusia dan alam sejagat.