fb fb fb fb fb

Malaysia komited majukan pembuatan perubatan teknologi tinggi

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR, 12 Disember - Malaysia komited untuk memajukan sektor penjagaan kesihatan dengan pengaplikasian transformasi digital dan Kecerdasan Buatan (AI) demi memastikan kemajuan sektor itu untuk generasi akan datang.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pendekatan itu bukan sekadar mengikuti trend global tetapi sebagai usaha aktif untuk mengubah dan mempercepatkan kemajuan dalam kesihatan dan kesejahteraan.

"Penyelesaian dan kerjasama yang telah kita saksikan mengesahkan bahawa Malaysia bukan sahaja mengikuti perkembangan global.

"Tetapi sedang giat mengubah dan memajukan kesihatan serta kesejahteraan untuk generasi akan datang.

"Kerana itu saya tekankan keperluan untuk memastikan kita mengikuti perkembangan baharu dan membuat pelarasan yang diperlukan.

"Semua pihak berkepentingan mesti mengambil dan memimpin pendirian bahawa anjakan paradigma ini perlu dilaksanakan secepat mungkin. Ini akan mempercepatkan teknologi untuk menyelamatkan nyawa, yang pastinya unik dan kritikal berbanding dengan pengaplikasian AI biasa," katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutup Pameran dan Persidangan Peranti Perubatan Antarabangsa (IMDEC) 2024 di ibu negara.

Beliau turut menegaskan bahawa anjakan paradigma ke arah transformasi ini memerlukan kesediaan dan tindakan segera daripada semua pihak, termasuk warga Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

IMDEC 2024 menghimpunkan lebih 600 delegasi antarabangsa dan 10,000 pelawat daripada pelbagai sektor industri penjagaan kesihatan termasuk pengilang, badan kawal selia, ahli akademik, dan inovator.

Turut hadir ialah Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad dan Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli.

Menurut data, eksport peranti perubatan negara mencatatkan peningkatan memberangsangkan sebanyak 30 peratus, dengan jumlah eksport mencecah RM27.2 bilion sehingga September 2024, berbanding tempoh sama tahun lalu.

GRACE AISYAH KEDAYAN