fb fb fb fb fb

Malaysia komited kekal sebagai rakan setia dan berprinsip kepada China

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan ucapan pada Majlis Makan Malam bersama Presiden China Xi Jinping, yang dihoskan oleh Perdana Menteri di Kompleks Seri Perdana, hari ini / BERNAMA

PUTRAJAYA, 16 April- Dasar luar Malaysia dan China dibina berasaskan visi bersama yang menekankan kepentingan dua hala serta keseimbangan dalam kepaksian ASEAN, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurut beliau, Malaysia akan terus menjadi rakan yang setia dan berprinsip kepada China, selari dengan hubungan strategik yang telah lama terjalin antara kedua-dua negara.

“Hubungan ini tidak hanya disandarkan pada angka dagangan atau statistik pelancong semata-mata, tetapi berakar pada pemahaman mendalam bahawa kemakmuran yang ingin dikekalkan mesti dikongsi bersama,” katanya.

“Kepercayaan yang telah dipupuk juga mesti dijaga dengan penuh hati-hati, kesabaran dan komitmen,” ujar Datuk Seri Anwar lagi.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis makan malam rasmi bersama Presiden China, Xi Jinping, di Kompleks Seri Perdana, malam tadi, sempena lawatan rasmi Presiden China ke Malaysia.

Dalam ucapannya, Perdana Menteri turut menegaskan Inisiatif Jalur dan Laluan (Belt and Road Initiative) yang diperkenalkan oleh China bukan sekadar projek infrastruktur, tetapi sebuah rangka kerjasama antarabangsa yang menyeluruh dan melibatkan pelbagai bidang strategik.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE