Malaysia komited bantu Palestin, utamakan keselamatan rakyat

Timbalan Menteri Luar Datuk Lukanisman Awang Sauni/ BERNAMA

KUALA LUMPUR 4 MacMalaysia kekal komited menghantar bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin, namun menegaskan keselamatan rakyat Malaysia yang terlibat sebagai keutamaan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Malaysia kekal komited menghantar bantuan kemanusiaan kepada Palestin sambil memastikan keselamatan rakyat Malaysia diutamakan.
  • Kementerian memantau keselamatan warganegara di luar negara dan bekerjasama dengan negara sahabat untuk sokongan konsular.
  • Penghantaran bantuan laut berisiko tinggi; Malaysia akan terus guna semua saluran selaras undang-undang antarabangsa dan prinsip kemanusiaan.

Timbalan Menteri Luar Datuk Lukanisman Awang Sauni penyertaan sukarelawan dan aktivis kemanusian misi Global Sumud Flotilla (GSF) dan Freedom Flotilla Coalition (FFC) pada tahun 2025, mencerminkan tekad rakyat Malaysia berdiri teguh bersama Palestin.

Malah ia menjadi lambang keberanian dan keikhlasan rakyat Malaysia dalam memperjuangkan keadilan sejagat khususnya dalam memecahkan tembok sekatan bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin.

“Walaupun misi flotilla memberi tekanan moral dan politik terhadap sekatan, penghantaran bantuan melalui laut berisiko tinggi.

“Berdasarkan pengalaman terdahulu, peserta misi berdepan sekatan dan penahanan oleh rejim Zionis Israel, menuntut kos tinggi serta usaha diplomatik kompleks kerana tiada hubungan rasmi antara Malaysia dan Israel,” katanya di Dewan Negara.

Tambahnya, kementeriannya sentiasa memantau keselamatan rakyat Malaysia di luar negara dan bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan serta negara sahabat termasuk Turkiye dan Jordan untuk memastikan bantuan konsular dan sokongan diplomatik diberikan sekiranya berlaku insiden.

Malaysia juga bersiap sedia memberikan bantuan konsular dan sokongan diplomatik bagi memastikan kepulangan warganegara dengan selamat.

“Setiap pendirian antarabangsa Malaysia adalah berdasarkan kepentingan negara serta selaras dengan undang-undang antarabangsa dan prinsip kemanusiaan sejagat,” katanya.

Malaysia menegaskan bahawa semua peluang untuk menyalurkan bantuan kemanusiaan akan terus dimanfaatkan, namun keselamatan rakyat Malaysia sentiasa menjadi keutamaan.

Beliau menjawab soalan Senator Tuan Musoddak Ahmad yang membangkitkan isu berkaitan misi Global Sumud Flotilla (GSF) di Dewan Negara.