Malaysia kekalkan prinsip berkecuali, hubungan baik semua negara

KUALA LUMPUR, 28 Oktober – Kebijaksanaan diplomasi Malaysia yang mengekalkan prinsip keseimbangan dan keterbukaan terus menjadi teras dalam hubungan antarabangsa, demi kepentingan perdagangan, pelaburan dan ekonomi negara.

RINGKASAN BERITA AI
  • Menegaskan Malaysia kekal berkecuali dan tidak berpihak kepada mana-mana kuasa besar.
  • Mengekalkan hubungan baik dengan semua negara demi kepentingan perdagangan dan pelaburan.
  • Diplomasi berasaskan keseimbangan untuk melindungi imej negara dan manfaat ekonomi kepada rakyat.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sekali lagi menegaskan Malaysia tidak berpihak kepada mana-mana kuasa besar, sebaliknya terus mengekalkan hubungan baik dengan semua negara.

Ini termasuk China, Amerika Syarikat, Kesatuan Eropah dan blok BRICS.

“Prinsip ‘centrality’ bermaksud kita boleh berhubung dan bersahabat dengan semua pihak. Kita bersahabat dengan China, Amerika Syarikat, EU kerana perdagangan dan pelaburan itu penting.

“Keputusan ini dibuat untuk menjaga imej negara, melindungi kepentingan ekonomi, pelaburan dan yang lebih penting memberi manfaat kepada rakyat.” kata Perdana Menteri ketika sidang media penutup Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini.