ISTANBUL, 9 Jun-Wisma Putra hari ini menegaskan Malaysia kekal dengan pendirian berhubung isu Palestin dengan terbaharu menekankan empat perkara utama pada Mesyuarat Tergempar Majlis Menteri-Menteri Luar Kumpulan Lapan Negara Membangun (D-8) yang berlangsung di Istanbul, Turkiye.
Menurut Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan empat perkara berkenaan ialah menyokong pelaksanaan gencatan senjata yang kekal, menghentikan dana dan bantuan kepada Israel termasuk kerjasama ekonomi yang menyumbang kepada ketenteraan dan kependudukan haram Rejim Israel, selain menubuhkan kerjasama di antara D-8 dan Palestin.
Katanya lagi,Malaysia turut berharap dan menyokong untuk meningkatkan bantuan kemanusiaan dan memastikan bantuan dapat disampaikan dengan selamat dan tanpa halangan kepada Palestin.
"Malaysia dan Negara-negara Anggota D-8 yang lain telah bersama-sama menyatakan solidariti dan sokongan jitu kepada perjuangan rakyat Palestin dalam mencari penyelesaian terhadap krisis yang berlaku di Gaza, seperti yang digariskan dalam Deklarasi Mesyuarat Tergempar yang telah diluluskan.
"Deklarasi tersebut, antara lain, mengutuk sekeras-kerasnya tindakan keganasan yang berterusan oleh Israel di Gaza dan Wilayah Palestin yang Diduduki, menuntut gencatan senjata segera, kekal, dan tanpa syarat; dan menyokong usaha-usaha pemulihan ekonomi dan pemulihan Gaza selepas pengunduran rejim Israel", tegas Mohamad Hasan dalam kenyataan.
Malaysia katanya komited dalam usaha ke arah penubuhan Palestin yang merdeka dan berdaulat, berdasarkan sempadan pra-1967, dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara serta Palestin diterima sebagai Anggota Penuh PBB.
Ujar Mohamad, Penyertaan Malaysia di Persidangan tersebut adalah sebahagian daripada usaha-usaha berterusan dan komitmen jitu negara dalam memperjuangkan isu Palestin di pelbagai platform antarabangsa.
"Usaha Negara diteruskan melalui penyertaan Menteri Luar Negeri ke Persidangan Peringkat Tinggi "Call for Action: Urgent Humanitarian Response for Gaza" pada 11 Jun 2024, di Jordan.
"Penyertaan Malaysia di Persidangan ini, atas jemputan Raja Jordan, Raja Abdullah II, Presiden Republik Arab Mesir, Abdel Fattah El-Sisi dan Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres, mencerminkan keyakinan masyarakat antarabangsa ke atas komitmen Negara membantu rakyat Palestin", katanya.
Dalam pada itu, Mohamad turut mengadakan kunjungan hormat ke atas Menteri luar Turkiye, Hakan Fidan menyaksikan kedua-duanya bertukar-tukar pandangan mengenai pelbagai isu kerjasama antarabangsa, serantau dan dua hala yang berkepentingan, terutamanya berkenaan isu Gaza.
Selain itu, beliau juga telah bertukar-tukar pandangan dengan rakan-rakan sejawat yang lain mengenai langkah-langkah yang boleh diambil oleh D-8 untuk meningkatkan usaha dalam mencari jalan penyelesaian kepada kesengsaraan yang menimpa rakyat Palestin.