Malaysia kekal autoriti halal paling dipercayai dunia

Pensyarah Kanan Pusat Pengurusan Pengajian Industri Halal, Akademi Pengajian Islam Kontemporari UiTM, Dr Syed Shahridzan Syed Mohamed

KUALA LUMPUR, 18 Februari – Industri halal negara terus mengukuhkan kedudukannya di persada antarabangsa apabila sijil halal Malaysia kini diiktiraf sebagai penanda aras utama, termasuk oleh negara bukan Islam.

RINGKASAN BERITA AI
  • Sijil halal Malaysia diiktiraf sebagai penanda aras antarabangsa kerana sistem pensijilan sistematik dan SOP ketat.
  • Lebih 50% permohonan datang dari usahawan bukan Islam, menunjukkan nilai komersial tinggi sijil halal Malaysia.
  • Negara maju menggunakan sistem halal Malaysia sebagai rujukan dan tenaga pakar Malaysia dicari di luar negara.

Pensyarah Kanan Pusat Pengurusan Pengajian Industri Halal, Akademi Pengajian Islam Kontemporari Universiti Teknologi MARA (UiTM), Dr Syed Shahridzan Syed Mohamed berkata kejayaan itu didorong sistem pensijilan yang sistematik serta prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

Menurut beliau, lebih 50 peratus permohonan sijil halal diterima melibatkan produk diusahakan usahawan bukan Islam termasuk syarikat tempatan dan luar negara seperti Vietnam, Australia dan China, sekali gus membuktikan nilai komersial tinggi sistem pensijilan Malaysia.

Tambahnya, negara maju seperti Jepun dan Korea kini menjadikan sistem halal Malaysia sebagai rujukan utama bagi memenuhi keperluan pelancong Muslim selain memastikan produk mencapai standard keselamatan dan kebersihan yang tinggi.

Beliau turut memaklumkan kepakaran tenaga kerja tempatan dalam bidang halal mendapat permintaan meluas apabila ramai pakar Malaysia berkhidmat sebagai penasihat di negara seperti New Zealand, Australia, Jepun dan Korea.

Sijil halal yang dikeluarkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) serta jabatan agama negeri disifatkan sebagai jaminan diyakini pengguna kerana mematuhi piawaian syarak dan keselamatan yang ketat.

Beliau berkata demikian kepada RTM selepas menjadi tetamu program Selamat Pagi Malaysia di Angkasapuri, Kota Media.