Malaysia kecam tindakan Israel daftar tanah secara haram di Tebing Barat

FOTO REUTERS

KUALA LUMPUR, 19 Februari – Malaysia mengecam sekeras-kerasnya tindakan rejim Zionis Israel mendaftarkan tanah secara haram di wilayah Tebing Barat yang diduduki.

RINGKASAN BERITA AI
  • Mengutuk pendaftaran tanah haram oleh Israel di Tebing Barat yang memperkukuh penempatan dan pendudukan tidak sah.
  • Langkah itu melanggar undang-undang antarabangsa termasuk Konvensyen Geneva Keempat dan Resolusi Majlis Keselamatan PBB 2334.
  • Malaysia menyeru masyarakat antarabangsa menolak tindakan tersebut dan menuntut hak rakyat Palestin dihormati.

Tindakan berkenaan disifatkan sebagai percubaan memperkukuh penempatan tidak sah serta pendudukan kekal wilayah Palestin.

” Tindakan yang pertama seumpamanya sejak 1967 itu merampas hak milik rakyat Palestin, memperluas penaklukan dan secara terang-terangan melanggar undang-undang antarabangsa, termasuk Konvensyen Geneva Keempat serta Resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) 2334″, jelas Wisma Putra dalam kenyataan hari ini.

Kenyataan itu turut menegaskan tindakan berkenaan mengukuhkan pendudukan dan kawalan haram Israel ke atas wilayah Palestin yang diduduki, sekali gus menjejaskan hak rakyat Palestin serta prospek penyelesaian dua negara yang adil dan berkekalan.

Justeru,Malaysia menyeru masyarakat antarabangsa untuk menolak langkah tidak sah tersebut serta menuntut Israel bertanggungjawab memastikan hak rakyat Palestin dihormati.

Malaysia turut menegaskan solidariti tidak berbelah bahagi terhadap rakyat Palestin dalam perjuangan untuk kebebasan, keadilan dan penubuhan negara merdeka berdasarkan sempadan pra-1967 dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara.